Mentega
sering digunakan dalam masakan terutamanya kek dan biskut. Secara amnya,
mentega adalah produk tenusu yang diperbuat daripada susu asli. Kebanyakannya
diperbuat daripada susu lembu untuk tujuan komersial.
Sebelum
mentega terhasil, susu akan melalui proses bagi memisahkan lemak susu dan
cecair. Lemak susu itu kemudian dijadikan pepejal dan dibungkus seperti produk mentega
yang ada hari ini.
Ciri-ciri
mentega adalah ia mempunyai rasa dan aroma yang kuat dan tajam. Warnanya kuning pudar berbeza
dengan warna marjerin yang berwarna kuning pekat. Mentega adalah produk yang
tidak tahan pada suhu panas dan biasanya disimpan di dalam peti sejuk. Ia mudah
cair berbanding dengan marjerin yang lebih tahan pada suhu bilik.
Terdapat
dua jenis mentega iaitu mentega asli dan mentega lepa susu. Mentega asli
mengandungi lebih 80 peratus lemak susu dalam kandungan beratnya. Manakala
mentega susu lepa pula mengandungi kandungan lemak yang lebih rendah.
Ini kerana mentega
lepa susu telah dicampurkan dengan bahan lain seperti minyak kelapa sawit, minyak
isirong, lecitin soya, perisa (mengandungi susu), susu tepung, perisa dan pewarna
(beta carotene) dan lain-lain.
Kandungan
lemak yang lebih dalam mentega asli juga membuatkan harga mentega asli lebih
mahal dijual berbanding mentega lepa susu. Kedua-dua jenis mentega ini boleh
didapati dalam keadaan bergaram (salted) atau tidak bergaram (unsalted).
Mentega
adalah sumber vitamin yang sangat baik. Salah satu daripada banyak vitamin yang
bermanfaat kita dapat daripada mentega ialah Vitamin A yang mempunyai pelbagai
fungsi untuk badan kita.
Vitamin A menggalakkan
pertumbuhan tulang, pertahanan terhadap penyakit, memperbaiki struktur kulit
serta mengekalkan penglihatan yang baik. Selain daripada Vitamin A, mentega
juga mempunyai vitamin larut lemak lain seperti Vitamin D, E dan K.
